Pages

Monday, 10 February 2014

Seni Senaman Teragung


Seni Senaman Teragung
oleh : Asma' Sharipuddin

Solat adalah salah satu perantaraan secara langsung antara hamba dan penciptaNya yang agung. Rasulullah S.A.W. telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam penghayatan terhadap kesenian ibadat ini dalam kehidupan seharian. Apabila baginda menghadapi ujian – ujian yang berat, baginda akan bingkas mendirikan solat menghadap kepada Allah S.W.T. Dijadikan solat ini sebagai penyejuk mata baginda sebagaimana Rasulullah S.A.W. sering mengatakan kepada Bilal b. Rabah r.a. “ىا بلال , اقم الصلاة و ارحنا بها” .Mafhumnya,”Hai Bilal ! Dirikanlah solat rehatkan (istirehatkan) kami dengannya”. Namun begitu , berapa ramai manusia sekarang ini yang betul – betul memahami maksud dan merasai keindahan ibadah ini.

Pengertian solat pada bahasa (emitologi) bererti doa,manakala dari segi syara’ (terminologi) pula,solat adalah ibadat yang terdiri daripada perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam dan wajib melakukannya pada waktu – waktu tertentu. Solat merupakan ibadah yang paling penting dalam rukun Islam sebagai pembuktian mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. sebagaimana Nabi Muhammad S.A.W.bersabda :” Islam ditegakkan atas lima dasar,syahadah (menyaksikan) bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah,mendirikan solat, menunaikan zakat,puasa Ramadhan,menunaikan haji ke Baitullah bagi yang mampu menunaikannya.”(HR Bukhari).

Betapa tinggi dan mulianya nilai seni senaman yang teragung ini yang mana junjungan besar,Nabi Muhammad S.A.W. menerimanya secara langsung daripada Allah S.W.T. sewaktu peristiwa Isra' Mikraj . Satu perjalanan kilat Rasulullah S.A.W. pad sebahagian malam atas kekuasaan dan kehendak Allah S.W.T. dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha ,sampai dibawah arasy Allah lalu kembali semula ke Mekkah pada malam yang sama.

Peristiwa ini memberi impak yang besar dalam membongkar keyakinan dan keimanan umat manusia kepada kekuasaan Allah S.W.T. dan kebenaran kepada kenabian Nabi Muhammad S.A.W. Itulah secebis kisah Isra' Mikraj,menggambarkan betapa besar nilai ibadah solat jika dibandingkan dengan ibadah – ibadah lain yang diturunkan melalui perantaraan Malaikat Jibrail alaihissalam.


Pada perspektif sains , gerakan – gerakan dalam solat memiliki satu keistimewaan yang sebanding dengan senaman badan yang betul. Ianya berfungsi menjaga struktur tubuh agar kekal menjalankan sistem dalaman dan luaran secara normal dan sekaligus mengubati penyakit atau gangguan yang biasa menimpa manusia.


Sebagai contoh , posisi ruku’ dengan meluruskan tulang belakang dan selarikan kepala dan pinggul seakan – akan tulang belakang rata dan datar seperti bumi tanah. Hasilnya , pengaruh kekuatan graviti bumi terhadap darah pada dada dan kepala hampir tidak ada. Oleh itu , kuantiti darah dalam otak kian bertambah.


Pengaliran darah yang mencukupi ke otak dapat membantu menyembuhkan sakit kepala yang diakibatkan oleh sentiasa berfikir. Keadaan ini juga dapat mengubati sakit kepala yang diakibatkan oleh penyakit jantung dan lemah jantung. Selain itu , dapat memperbaiki kekuatan pandangan dan meningkatkan penglihatan , khususnya bagi mereka yang menghadapi tekanan darah rendah dan penyakit jantung. Kadang kala terjadi kesilauan pada mata dan kekaburan penglihatan akibat daripada kekurangan pengaliran darah pada kedua – dua mata.


Lihatlah betapa seninya ciptaan anggota badan yang telah diciptakan oleh Allah S.W.T. Perhatikan sahaja pada pergerakan anggota – anggota badan kita , seandainya salah satu anggota badan kita mengalami implikasi seperti pembuluh darah tersumbat dan sebagainya. Keadaan ini amat menyukarkan pergerakan seharian kita walaupun mempunyai pelbagai inisiatif – inisiatif sejajar dengan teknologi masa kini.


Allah S.W.T. adalah pencipta sekaligus pemilik manusia dan alam cakerawala ini. Pastinya dia maha mengetahui penyakit atau gangguan yang sentiasa dialami oleh manusia dan cara – cara mengubatinya. Dia maha mengetahui gerakan – gerakan tubuh yang boleh dilakukan dalam aktiviti seharian manusia. Allah telah menciptakan sebuah program perlindungan yang khusus bagi melindungi kelancaran sistem tubuh badan manusia yang unik ini dan ianya dapat dimanifestasi dengan melakukan pergerakan dalam amalan solat kita dengan betul.

Akhir kalam , solat memainkan peranan yang cukup besar dalam membentuk seorang mukmin yang sihat tubuh badan dan juga dalamannya. Tidaklah , Allah S.W.T. memerintahkan hambaNya untuk melaksanakan sesuatu perintah melainkan ada hikmah disetiap suruhannya. Wahai kawan – kawan , ayuh sama – sama bangkit memperbaiki dan memperbaharui ibadah solat kita dengan sebaik – baiknya agar kebaikan yang tersirat disebalik setiap pergerakan anggota dapat dirasai.

No comments:

Post a Comment